MALAYSIA a.k.a HARIMAU MALAYA
Penjaga Gol
Khairul Fahmi Che Mat, Farizal Marlias
Pertahanan
Zubir Azmi, Azmi Muslim, Bunyamin Umar, Mahali Jasuli, Fadhli Shas, Faizal Muhammad, Aidil Zafuan
Tengah
Baddrol Bakhtiar, Wan Zack Haikal, Azamuddin Akil, S.Kunalan, Safiq Rahim, Sahkir Shaari,Gary Robbat, Amar Rohidan
Penyerang
Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Khyril Muhymeen, Fakri Saarani, Ahmad Hazwan
Tanpa kemenangan dalam empat perlawanan persahabatan terakhir, Harimau Malaya (HM) memulakan misi mempertahan Piala AFF/Suzuki dengan keyakinan ditahap paling rendah. Kegagalan mencipta kemenangan dengan lawan yang lebih lemah menyebabkan peminat mula hilang kepercayaan terhadap coach Raja dan HM.
Pemilihan pemain oleh coach Raja seakan boleh diramal dari awal. Inilah barisan ‘kesayangan’ Raja yang sangat beliau ‘kenali’. Mungkin Raja ada kriteria tersendiri dalam pemilihannya, atau dia perlu merujuk kepada ‘Raja’ yang lain..Wallahualam.
Tanpa elemen kejutan, skuad kali ini masih bergantung dengan nukleus yang hampir serupa dengan edisi 2010. Apek, Safiq, Safee dan Mat Yo masih kekal sebagai teraju utama pasukan - sesuatu yang membuatkan team HM sangat ‘boleh dijangka’.
Penjaga Gol
Tidak dinafikan, Apek dan Farizal merupakan dua penjaga gol terbaik dalam Liga Super ketika ini. Apek dilihat sebagai pilihan utama didepan Farizal.
Pertahanan
Bek tengah bergantung kepada keupayaan Fadhli Shas dan Aidil dengan Faizal sebagai back-up. Manakala untuk bek kiri dan kanan diisi oleh Zubir, Azmi, Mahali dan Bunyamin. Konsistensi Aidil sangat ditagih Raja, tetapi selepas mengharungi kempen liga dan Piala Malaysia yang memenatkan, bahaya kecederaan dan kehilangan fokus boleh membantutkan usaha Malaysia memburu kejuaraan. Contoh terbaik adalah ketika menentang Hong Kong. Jika keadaan memaksa, atau kecederaan berlaku, Gary dilihat boleh mengisi slot bek tengah cuma kekurangan kepantasan mungkin boleh menjadikan keadaan berbahaya untuk Apek. Bek kiri dan kanan pula diharap boleh membantu serangan jika diperlukan, tetapi perlu lebih berhati-hati ketika serangan balas lawan.
Tengah
Pergerakan dibahagian tengah terlalu bergantung kepada kreativiti Safiq yang dilihat sebagai nadi kepada semua pergerakan HM. Selain Safiq, Raja cuma ada Baddrol sebagai pilihan pemain tengah menyerang. Dengan Sahkir, Amar dan Gary yang lebih cenderung kepada ‘holding’/‘ball-winning’ midfielder, seharusnya Raja memilih kapten Kelantan, Piya sebagai Plan B jika Safiq gagal menyerlah atau ditimpa musibah. Elemen ‘kimia’ Piya dan Sahkir yang membantu Kelantan memenangi ‘treble’ juga mungkin boleh membantu Malaysia dalam edisi kali ini. Kepantasan Muhymeen, Kunalan, Alex dan Wan Zack sangat kritikal bagi membantu serangan.
Penyerang
Safee dan Mat Yo adalah dua nama yang sudah pasti mengisi jentera serangan HM secara otomatik. Kualiti pemusnah Safee memang tidak diragui tetapi jika Mat Yo diikat kemas pertahanan lawan, serangan HM mungkin kurang berbahaya. Fakri pula bukanlah penyerang dengan penyudah tajam, tetapi lebih kepada ‘centre forward’ untuk menyokong ‘main striker’. Hazwan mungkin boleh menjadi ‘super-sub’ kepada HM jika betul cara menggunakannya.
Kesimpulan
HM dilihat mampu mara ke separuh akhir jika mampu mengalahkan Singapura dan Laos dalam dua perlawanan awal sambil membayangkan tentangan sengit Indonesia yang lebih sukar diramal.
Selamanya Harimau Malaya! Selamanya sokong Malaysia!